Isu moral dan undang-undang Internet

Terdapat kebimbangan masyarakat mengenai Internet yang berpunca daripada beberapa bahan kontroversi di dalamnya. Pelanggaran hakcipta, bahan lucah, curian identiti, dan fitnah, adalah biasa dan sukar hendak dikawal selia.

Kematian juga telah disalah gunakan di dalam penggunaan Internet oleh sesetengah pihak. Brandon Vedas meninggal dunia akibat pengambilan dadah yang berlebihan setelah rakan-rakan sembang IRCnya memberikan semangat. Shawn Woolley membunuh diri kerana ketagihan dengan permainan online iaitu Everquest. Brandes ditikam bunuh, dan dimakan oleh Armin Meiwes setelah menjawab iklan dalam internet.

Masyarakat hari ini mudah terpengaruh dengan paparan yang terdapat melalui laman web. Mereka tidak menilai sama ada sesuatu itu benar atau palsu. Kandungan yang bersifat fitnah dan maklumat palsu amat mudah mempengaruhi pemikiran masyarakat. Masyarakat sepatutnya menilai sesuatu yang dipaparkan di internet mempunyai kesahihan atau tidak. Jangan menerimanya secara membabi buta.

Selain itu, banyak syarikat rakaman serta syarikat penerbitan filem melahirkan kebimbangan mereka mengenai gejala cetak rompak yang semakin menjadi-jadi menerusi internet. Pengguna internet boleh memuat turun filem, video ataupun lagu berformat MP3 secara percuma dengan mudah melalui beberapa laman web tertentu ataupun melalui perisian rakan-ke-rakan seperti Bittorrent. Pada tahun 2004, Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA) telah memfailkan saman terhadap lebih 250 individu yang menawarkan muat turun lagu yang dicetak rompak.